Tips Mengekalkan Semangat Positif Dalam Bisnes

Zaman segalanya di hujung jari ni, ramai yang telah menceburkan diri dalam perniagaan atas talian. Tak kisah apa jenis perniagaan halal yang dijalankan, pastinya ada pasang surut semangatnya. Perjalanan sebuah perniagaan tak pernah mudah dan lurus, malah laluannya lebih banyak simpang siur dan bengkang bengkok. Hanya yang berjaya mengekalkan semangat, menguatkan keazaman dan sentiasa positif mampu mengharungi liku-liku berniaga ini.

Sebenarnya ramai yang mampu dan boleh mencapai impian masing-masing cuma kadang-kadang kita belum serlahkan dan ketahui potensi diri sendiri. Ada yang baru terlanggar bonggol sikit, dah melatah dan mengalah. Ada yang jatuh terjelepuk ke lubang tapi gigihkan diri dan terus bangkit malah melangkah lebih laju. Semuanya terpulang pada diri sendiri, tepuk dada tanya iman.

teamwork

 

Dalam perniagaan yang saya ceburi, ianya dibarisi mentor-mentor yang tak pernah jemu memimpin tangan dan memberi semangat. Ada banyak tips yang dikongsikan dengan anak-anak bisnes supaya sama-sama berganding bahu menuju kejayaan. Kami bersaing secara sihat dan adil. Siapa usaha lebih, dia dapat. Man Jadda Wajada. Antara ribuan tips yang diberikan, saya nak kongsikan dengan semua tips untuk kekalkan semangat dan sentiasa positif menghadapi apa jua keadaan.

Untitled Infographic (2)
Klik Gambar Untuk Lebih Jelas

#1 – MINAT DAN SEMANGAT – Dalam melakukan apa jenis perniagaan sekalipun, kita mesti ada minat sebab bila kita minat, maka kita akan mencari masa untuk melakukannya. Minat ni seumpama hobi, bila kita suka membaca kita akan luangkan masa dalam sehari untuk membaca.

Minat akan melahirkan semangat! Tak kisah la apa pun pandangan orang lain, kita akan tetap bersemangat melakukannya. Disebabkan minat, semangat kita berkobar-kobar untuk membuat sesuatu.

#2 – JATUH CINTA – Bila dah minat, maka mula la jatuh cinta. Kerana cinta kita sanggup lakukan apa sahaja. Kerana cinta, lautan api sanggup direnangi. Kerana cinta seorang mak pada anaknya, dia sanggup bersengkang mata menjaga anak yang sakit. Semuanya kerana CINTA. Tetapi jangan pula jatuh cinta pada duit tau! Jatuh cinta pada apa yang kita buat, duit akan ikut kemudian. Bak kata pepatah omputeh ‘Love what you do, Money will follow you’

#3 – FOKUS PADA YANG POSITIF – Berniaga memang susah, memang penuh pancaroba. Tiada perniagaan dalam dunia ni yang tak perlu komunikasi dengan orang, tak perlu promosi pada orang dan tak perlukan marketing. Asal namanya berjual beli, mesti la antara orang dengan orang kan. Namun, hadapi semua kesukaran itu dengan positif. Fokus pada niat kita membantu orang untuk mendapat kebaikan/memudahkan orang mendapatkan produk tersebut.

#4 – MELABUR DALAM PERNIAGAAN – Bukan semata-mata melabur dengan wang ringgit ye tetapi melabur dengan masa dan tenaga. Sebagai contoh, korbankan waktu tidur kita buat seketika sebelum kita stabil. Asah minda kita untuk fikirkan strategi yang boleh menuntungkan. Tanpa pengorbanan, segala impian takkan jadi kenyataan.

#5 – MELABUR PADA DIRI SENDIRI – Sentiasa upgrade skill dari masa ke semasa. Tambahkan ilmu pengetahuan, ilmu pengurusan perniagaan dan masa, leadership dan banyak lagi. Setiap hari belajar perkara baru, jangan sombong untuk bertanya dan menambah ilmu. Cari kelas-kelas motivasi, leadership atau buku-buku perniagaan dan aplikasikan dalam kehidupan seharian.

#6 – BERADA DALAM LINGKUNGAN ORANG-ORANG YANG HEBAT DAN POSITIF – Kawan yang baik umpama penjual minyak wangi, walaupun tiada bersama kita tetapi wangiannya kekal dengan kita. Jika di Facebook, UNFOLLOW atau hide status kawan-kawan yang berbaur negatif. Pastikan kita sentiasa bergaul dan berada dalam golongan kawan-kawan yang berjaya dan positif. Jaga hubungan baik dengan mereka dan jadikan mereka rujukan untuk sentiasa bersemangat dan berfikiran positif.

Apa yang penting, konsisten dengan apa yang kita lakukan dan fokus pada satu perkara pada satu masa supaya kita boleh capai apa yang diimpikan. Jika tidak, kita akan mudah hilang fokus dan akhirnya tidak ke mana-mana. Masa dan tenaga terbazir begitu sahaja dan tidak membuahkan hasil.

Moga perkongsian ini memberi manafaat kepada semua yang sudah lama atau baru sahaja menceburi bidang perniagaan offline mahupun online.


signature

mamavogue

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge