Ceritera Mak Mak ; Anak Adalah Cerminan Ibu Bapa

kacamata

Setelah beberapa lama menjadi Admin dalam satu closed group Mak Mak di Facebook, banyak perkara yang menarik perhatian saya sebagai seorang emak. Kehidupan seorang emak memang penuh dengan warna warni dan sentiasa di kelilingi oleh anak-anak. Samada emak yang bekerjaya mahupun yang menguruskan rumah tangga sepenuh masa.

Ramai mak mak yang berkongsi rasa tentang keletah serta kerenah anak-anak mereka juga berkongsi pendapat bersama-sama dalam usaha mendidik dan membentuk peribadi anak. Namun pernah tak kita terfikir bahawa anak-anak adalah cerminan kita sendiri sebagai ibu bapa?

Apabila anak mula membuat sesuatu perangai yang tidak kita senangi, biasanya kita mengambil jalan mudah menyalahkan keadaan sekeliling contohnya pengaruh kanak-kanak lain di taska ataupun dari teman-teman sepermainan mereka. Jarang sekali kita muhasabah kembali diri sendiri sebagai ibu bapa yang mungkin secara tidak sengaja memberi contoh tidak baik buat si anak.

Sebaiknya, apabila si anak mula meragam dan memulakan sesuatu yang tidak sepatutnya (contoh : tantrum tanpa sebab, mula memukul adik beradik lain, membaling barang/permainan apabila marah dan sebagainya) apa kata kita tenung diri kita dalam-dalam di hadapan cermin. Tanya kembali pada diri sendiri apa yang menyebabkan anak-anak bertindak demikian. Adakah kerana anak tidak mendapat perhatian secukupnya kerana kita terlalu leka dengan smartphone masing-masing atau ada kelakuan kita yang membuatkan anak-anak bersikap sedemikian.

Dekati anak-anak yang bermasalah ini dengan penuh lemah lembut. Bayangkan mereka adalah diri kita sendiri semasa kita juga masih kecil yang masih memerlukan perhatian sepenuhnya dari ibu bapa. Bila kita letak diri kita di tempat mereka, lebih mudah kita melihat punca terjadinya segala kelakuan ini. Sebagai mak, doakan perkara yang baik-baik buat anak-anak. Sebut perkataan yang baik-baik dan teguran yang membina keyakinan diri si anak. Cuba sebaik mungkin untuk berkomunikasi dengan mereka selalu agar mereka sentiasa rasa dihargai.

Jika kita mula muhasabah diri sendiri, memikirkan mungkin ianya sebagai tanda Allah mahu ‘menegur’ kita yang semakin lalai maka insya Allah kita akan kurang menyalahkan keadaan sekeliling dan mula membetulkan situasi di rumah kita sendiri. Mak mak juga akan kurang merasa stress dan marah-marah dalam proses membesar dan mendidik anak-anak. Anak-anak juga dapat menikmati zaman kanak-kanak mereka dengan penuh kegembiraan dan tanpa batasan.

Happy kids, happy mommy, happy house!

signature

mamavouge

 

Disclaimer : Penulis artikel adalah seorang ibu yang tidak mempunyai sebarang kelulusan mahupun pengiktirafan dalam bidang keibubapaan secara profesional. Segala huraian adalah dari pendapat dan pemerhatian penulis sebagai admin di dalam sebuah group yang berkongsi permasalahan berkaitan mendidik anak-anak. 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge