5 Tips Hebat Galakkan Anak Sarapan Pagi

Bila saya post pasal kepentingan bersarapan, ada mak mak yang respon. Antaranya untuk anak yang susah nak makan, macam mana nak galakkan diorang ni bersarapan? Sarapan memang penting tapi ada anak-anak yang ‘picky eater’ dan juga susah nak makan jadi mak mak runsing dan risau.

Bawa bertenang mak mak sekelian alam.. mudah aja tu. Semua masalah ada penyelesaian.. insya Allah. Yang penting kita usaha.

Hari ni saya kongsikan pula tips nak pujuk si manja untuk bersarapan pagi. Nanti mak mak cuba tau!

1/ Sediakan buah-buahan – kanak-kanak memang sukakan benda manis. Maka mak mak boleh sediakan pisang atau epal sebagai permulaan. Ianya bukan saja mengenyangkan tetapi bagus untuk penghadaman. Boleh juga beri buah-buahan pelbagai warna untuk tarik perhatian anak.

2/ Sediakan sarapan bersama – ini memang agak memerlukan kesabaran yang tinggi. Tetapi saya yakin sepenuh hati anak-anak suka sangat aktiviti ni. Cuba ajak anak sama-sama sediakan sarapan bersama. Boleh buat yang ringkas-ringkas contohnya sandwich atau salad buah-buahan.

3/ Jadi lebih kreatif – yang ini memang memerlukan sedikit kegigihan. Sebab saya pun masih ditahap amatur je..hahah. Mak mak boleh cuba guna pelbagai jenis acuan kuih raya (cookie cutter) untuk digunakan pada buah contohnya tembikai. Ataupun kalau rajin, boleh dapatkan pelbagai jenis cutter kat kedai.

4/ Duduk semeja – Lepas buat sarapan bersama, cuba duduk dan makan bersama-sama. Ianya akan memberi semangat kepada anak-anak untuk bersarapan. Makan bersama anak juga boleh merapatkan lagi hubungan dan menenangkan emosi anak.

5/ Yang paling penting, adalah masakan dari air tangan mak tu sendiri. Doa dan zikir yang dibaca masa memasak membuatkan anak-anak lebih berselera dan seronok nak makan.

Mak mak jangan mudah putus asa ye. Jika kali pertama tak mahu, tak bermaksud minggu depannya anak masih tak mahu. Ianya cuma perlu jadi kebiasaan. Nak ubah mula-mula memang agak susah tapi lama-lama insya Allah akan lebih mudah.

Ianya boleh dimulakan seawal anak dah boleh makan makanan pejal. Tetapkan waktu makan setiap hari supaya anak biasa dengan rutin. Jangan la anak dah mula sekolah baru nak paksa dia sarapan.. memang la dia pandai menolak.

Jom jadi supermak yang mithali 😍 Bila anak-anak suka makan dari hasil air tangan kita sendiri, ianya satu perasaan yang tak dapat kita gambarkan.

Setuju kan mak mak?

Gambar-gambar ilustrasi semuanya sumber dari Google.

mamavogue

Pentingnya Sarapan Buat Anak-anak Sebelum Ke Sekolah

Hari isnin yang agak basah.. pagi-pagi lagi telinga dah dihiburkan dengan bunyi hujan. Kalau dilayan memang boleh leka jadinya.

Macam mana urusan mak mak setakat pagi ni? Yang bekerja dan juga yang suri rumah masing-masing sibuk kan. Pagi-pagi memang kelam kabut lagi-lagi kalau hari isnin. Nak kejut anak bangun pun satu hal juga..

Tapi kan mak mak, macam mana kelam kabut pun pagi kita pastikan anak-anak ke sekolah dengan perut yang terisi. Sarapan memang sangat penting terutama buat anak-anak yang sedang membesar dan belajar.

Sarapan pagi adalah makanan pertama yang masuk ke perut anak kita setelah lebih 6 jam ianya kosong. Maka memang wajiblah diisi dengan makanan berkhasiat dan memberikan tenaga. Supaya anak-anak kita sentiasa aktif dan fokus di sekolah.

Anak-anak yang mengambil sarapan memang sangat berbeza dengan anak-anak yang tak bersarapan pagi. Mereka ni lebih cergas dan bertenaga. Mari saya kongsikan kelebihan anak-anak yang bersarapan setiap pagi.

5 kelebihan sarapan buat anak-anak sebelum ke sekolah

1/ Anak-anak yang bersarapan setiap pagi mempunyai memori yang kuat. Mereka mudah mengingati apa yang di ajar oleh guru dalam kelas.

2/ Mempunyai daya fokus yang tinggi terhadap apa yang dipelajari. Mereka juga memiliki konsentrasi yang tajam dan mudah faham.

3/ Meningkatkan teknik menyelesaikan masalah. Mereka lebih mudah menilai situasi dan keadaan di sekeliling mereka.

4/ Anak-anak ini juga seorang yang berfikiran lebih terbuka dan rasional. Mereka mampu berfikir kesan baik dan buruk terhadap setiap tindakan yang dibuat.

5/ Memiliki kemahiran berfikir yang tinggi dan mahir. Sesuai sangat dengan sistem pendidikan negara sekarang yang memerlukan anak-anak berkemahiran berfikir aras tinggi.

Zaman kanak-kanak ni memerlukan tenaga yang banyak sebab mereka belajar perkara baru setiap hari. Jadi, sarapan sangat penting buat mereka untuk memulakan hari dengan sempurna. Pastikan juga sarapan mereka adalah seimbang dan berkhasiat!

Sebagai contoh, sarapan yang seimbang mestilah mempunyai karbohidrat dan protein. Karbohidrat membantu anak-anak untuk kenyang lebih lama dan memberikan tenaga. Protein pula penting untuk pembentukan otot-otot badan mereka. Tak lupa juga kalsium untuk tulang dan gigi yang kuat.

Kanak-kanak yang sedang membesar memang memerlukan makanan dari pelbagai sumber untuk membina tubuh badan yang sihat dan bertenaga. Tugas kita lah sebagai mak mak untuk sediakan keperluan itu buat anak kita. Selain sarapan yang berkhasiat, bagus juga ditambah dengan suplemen yang selamat dan semulajadi agar sistem imun anak sentiasa dalam tahap terbaik. Maka anak takkan mudah dijangkiti penyakit.

Anak sihat, mak pun gembira. Setuju tak mak mak?

mamavogue

Panduan Mudah Mengajar Anak Membaca/Mengaji Di Rumah

Beberapa hari lepas, saya terpandang status seorang sahabat di Facebook beliau bertanyakan soalan bagaimana cara terbaik untuk mengajar anak membaca di rumah. Katanya juga, proses mengajar itu hampir membuatkan beliau bertukar hijau! Hahahah.. Sabar mak mak. Mengajar sendiri anak di rumah tak kira la membaca, mengaji atau mengira memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Saya juga sedang melalui proses yang sama di rumah bersama anak lelaki yang berumur 5 tahun.

Mula-mula saya juga mengalami kesukaran untuk memastikan si anak fokus dan mengdengar arahan dari kita, namun ada beberapa teknik yang saya amalkan akhirnya membuahkan hasil. Yang pastinya bukanlah secara mengejut, step by step gitu.. Try and error beberapa cara agar anak lebih fokus ketika membaca. Maka hari ini, saya sangat-sangat teruja nak berkongsi rahsianya bersama mak mak semua!

#1 Wujudkan suasana membaca/belajar

Dalam usaha memastikan anak fokus, mak mak mesti wujudkan suasan belajar itu sendiri. Kita memang tak bole ajar dalam keadaan sambil-sambil lipat kain ataupun kerja-kerja lain. Sebaiknya kita duduk di meja kecil mengadap anak dan sama-sama fokus pada bahan bacaan.

#2 Tetapkan tempoh masa yang sesuai

Bagi minggu pertama, mungkin mak mak boleh mulakan dengan 10 minit setiap sesi. Setelah itu, baru lah kita panjangkan tempoh kepada 20 minit dan seterusnya setiap sesi. Anak-anak ni mudah bosan jika disuruh buat satu perkara dalam tempoh masa yang panjang secara mengejut.

#3 Tentukan jadual dan tepatinya

Buat jadual harian untuk membaca dan pastikan kita tepatinya. Sebagai contoh, 10 minit di waktu pagi, 10 minit sebelum tidur tengahari dan 10 minit selepas solat isyak. Bagi mak mak bekerjaya, boleh mulakan dengan 10 minit selepas makan malam atau selepas solat isyak dan lebihkan masa membaca di hujung minggu. Kata kuncinya ialah tepati jadual yang dibuat.

#4 Tenang dan tiada paksaan

Berikan anak ruang waktu untuk membaca dengan lancar. Jangan paksa atau beri tekanan untuk anak mencapai sesuatu tahap dalam tempoh masa tertentu. Mak dan anak juga haruslah dalam keadaan tenang dan bersedia untuk memulakan sesi membaca supaya sesi pembelajaran berjalan dengan baik.

#5 Sistem ganjaran

Salah satu sistem ganjaran adalah reward chart. Mak mak boleh membeli atau menghasilkan sendiri stiker-stiker yang comel untuk ditampal pada reward chart tersebut. Selain itu juga, mak mak boleh berkreativiti dan memberi ganjaran mengikut kesukaan anak. Sebagai contoh, anak saya suka makan gula-gula ribena maka saya akan berikan sebiji setiap kali dia fokus dan berperangai baik ketika sesi membaca.

Setiap anak lain ragamnya kan.. maka mak mak kena cuba jaya mana-mana teknik yang saya kongsikan ini. Jangan lupa doa banyak-banyak agar Allah permudahkan dan lembutkan hati anak kita. Insya Allah proses belajar akan jadi lebih mudah buat kita dan anak. Bila kita sendiri yang mengajar, hubungan antara mak dan anak akan jadi lebih rapat dan erat. Inilah masanya kita nak luangkan masa bersama, kan..

Semoga bermanafaat buat semua!

signature

mamavogue

5 Tips Hebat Membantu Anak Tidur Dengan Lena

Sebagaimana yang kita tahu, kanak-kanak perlukan tidur yang cukup untuk berehat dengan baik. Kehidupan sebagai kanak-kanak adalah sangat aktif dan bertenaga maka mereka hanya berehat ketika mereka tidur. Tidur yang cukup dan berkualiti penting untuk perkembangan otak mereka. Mengikut England National Health Service, kanak-kanak berumur 5 hingga 9 tahun memerlukan 10-11 jam tidur.

Apa akan jadi kalau kanak-kanak tak cukup tidur? Sesetengahnya mudah meragam, mengganggu prestasi di sekolah, tidak bermaya dan juga kurang bersemangat. Jadi, saya nak kongsikan tips mudah untuk kita praktikkan di rumah supaya anak-anak kita dapat tidur yang secukupnya. 5 tips ini saya olah dari smartparenting.com mengikut pemahaman dan gaya penulisan saya sendiri. Kata kuncinya, KONSISTEN.

tidurlena

Tips #1 – Jauhkan segala jenis peralatan elektronik

Handphone, ipad, PSP ataupun televisyen boleh menyebabkan si anak tidur lambat. Cahaya lampu biru dari skrin tv pula boleh menyebabkan sistem badan tersalah tafsir waktu siang dan menyekat penghasilan hormon tidur iaitu melatonin. Cuba alihkan dan tutup semua peralatan ini sebaiknya sejam sebelum waktu tidur anak bagi memastikan tidur yang lebih lena.

Tips #2 – Pastikan suhu bilik dalam keadaan yang selesa

Suhu bilik terbaik adalah di antara 18-22 darjah Celsius. Ianya membuatkan si anak lebih mudah tidur dan selesa. pastikan juga pakaian anak tidak terlalu nipis (dikhuatiri kesejukan) dan tidak terlalu tebal supaya tidak berpeluh dan panas.

TipsTidurLena
Klik Gambar Untuk Lebih Jelas

Tips #3 – Tentukan rutin harian

Jadualkan waktu tidur pada masa yang sama setiap malam dan ulangi rutin yang sama setiap hari. Lakukan aktiviti yang mudah dan ringkas sebelum tidur seperti mengemas beg sekolah, menggosok gigi dan membaca doa sebelum tidur. Peluk dan cium anak sebelum meninggalkan bilik mereka.

children-outdoor-2
Gambar sumber Google

Tips #4 – Pastikan anak melakukan aktiviti fizikal

Di waktu siang, pastikan anak menggunakan sepenuh tenaganya dengan aktiviti fizikal. Aktiviti seperti bermain di taman, berbasikal dan beriadah bukan sahaja baik untuk kesihatan malah memastikan tenaga mereka digunakan sebaiknya. Elakkan sebarang aktiviti menjelang waktu tidur.

Tips #5 – Konsisten dengan jadual

Setelah kita tetapkan rutin dan jadual tidur anak, pastikan kita konsisten melakukannya setiap hari tanpa gagal. Elakkan membenarkan anak tidur lewat ketika waktu cuti sekolah atau hujung minggu. Teruskan dengan jadual waktu yang teratur agar anak dapat tidur yang cukup dan berkualiti.

Semoga bermanafaat!

signature

mamavogue